Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

MEMBELI dan mengumpul bahan seni visual seperti karya lukisan, cetakan, fotografi, catatan, seramik, media baru, arca dan kolaj sering dikaitkan sebagai hobi di kalangan peminat seni.

Namun, ramai yang tidak menyedari aktiviti mengumpul bahan seni itu sebenarnya satu hobi yang menguntungkan dan boleh diwariskan dari satu generasi ke satu generasi.

Apatah lagi nilai koleksi seperti ini akan terus meningkat seiring dengan peningkatan usianya terutama apabila membabitkan karya seni daripada seniman-seniman ternama.

Justeru persepsi sesetengah individu yang menganggap hobi mengumpul karya seni sebagai membazir dan tidak bermanfaat, adalah tidak relevan.

Hakikatnya, hobi mengumpul bahan seni visual tidak jauh bezanya dengan hobi mengumpul bahan lain cuma ada kalanya ia memerlukan belanja yang besar sehingga jutaan ringgit untuk mendapatkan karya agung milik seniman ternama tanah air mahupun artis dari luar negara.

Dalam pada itu, koleksi yang berharga jutaan ringgit kadang-kala umpama tidak bernilai dan langsung tidak dikenali selepas bertahun-tahun ‘disembunyikan’ pemiliknya yang tidak menjaga kondisi keadaan karya itu.

Tanpa disedari, koleksi lukisan atau arca yang dihasilkan oleh seniman ternama akan hilang satu persatu di telan arus kemodenan.

Tidak kurang juga yang rosak dimakan anai-anai, kulat kulapuk sehingga memaksa ia dibuang begitu saja seperti sampah tidak berharga.

Memelihara khazanah seni visual

Melihatkan kepentingan untuk memulihara karya-karya seni yang bernilai tidak kira koleksi milik syarikat-syarikat mega mahupun persendirian, Balai Seni Visual Negara (BSVN) kini menawarkan perkhidmatan pemuliharaan.

Perkhidmatan dikendalikan oleh Bahagian Pembangunan Seni, Pengurusan Koleksi dan Pemuliharaan, mampu membaik pulih lukisan lama menjadi seakan-akan baru selepas melalui proses-proses tertentu dalam makmal yang terletak di tingkat bawah bangunan BSVN.

Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam makmal tersebut, sesiapa pun pasti akan rasa teruja dan kagum melihatkan pelbagai koleksi menarik tersusun kemas di setiap sudut ibarat berada dalam galeri mini yang menyimpan pelbagai barangan seni visual klasik dan moden.

Bezanya, bahan ataupun karya yang terdapat di tingkat tersebut ada di antaranya rosak, terkoyak, warna tertanggal dan tidak kurang juga yang hampir 50 peratus kehilangan rupa asal berbanding karya yang dipamerkan di galeri sebenar.

Bermula pada 1 Oktober 2008, penstrukturan BSVN atau dulu dikenali sebagai Balai Seni Lukis Negara telah mewujudkan bahagian tersebut melalui Waran Perjawatan Bil. JPA(S)253/78-5Klt.2sk2 bertarikh 28 Disember 2002.

Boleh dikatakan bahagian tersebut pada mulanya hanya tertumpu kepada aktiviti memulihara, memelihara, mendokumentasi dan mengadakan penyelidikan terhadap Koleksi Himpunan Tetap Negara sahaja.

Bagaimanapun, fungsi bahagian tersebut semakin berkembang dan mula menerima karya-karya milik persendirian yang berhadapan dengan risiko kerosakan.

Selain itu, ia turut menjalankan kerja-kerja konservasi rawatan basah dan kering, memeriksa dan mendokumentasikan koleksi dan memelihara rekod pemuliharaan.

Ia juga memberi khidmat nasihat pemuliharaan kepada institusi awam, komuniti dan individu, merancang dan menguruskan tatacara perolehan dan penggunaan bahan kimia, menyelaras program kerjasama berkaitan pemuliharaan dengan institusi berkaitan dan menjalankan kerja-kerja pembingkaian.

Menurut, Kurator Konservasi BSVN, Musrizal Mat Isa, peringkat awalnya iaitu sekitar 1990-an tenaga luar dari New Zealand dijemput ke Malaysia bagi melakukan kerja-kerja baik pulih.

Namun selepas BSVN bekerjasama dengan Pusat Pemuliharaan Bahan Budaya (CCMC) dari Melbourne, Australia dan Makmal Penyelidikan bagi Pemuliharaan Kebangsaan (NRLC), India, bidang pemuliharaan semakin berkembang kerana kedua institusi tersebut berkongsi kepakaran dan kajian terhadap cuaca tropika.

“Kebanyakan medium seni yang digunakan di negara ini dihasilkan di negara Barat, oleh itu bahan-bahan tersebut perlu dikaji sama ada ia sesuai digunakan di negara-negara lain dari segi tindak balas terhadap suhu.

“Selepas menganalisis maklumat itu, data yang diterima kembali membolehkan kami untuk mengenal pasti bahan yang sesuai digunakan di negara-negara Asia,” jelasnya.

Musrizal berkata, pada tahun 2009, BSVN mula serius untuk mewujudkan sebuah pusat pemuliharaan dan sehingga tahun lepas mereka mula menerima bahan-bahan dari luar.

“Selain Koleksi Himpunan Tetap Negara, kami juga menerima bahan seni visual daripada pengumpul (kolektor) swasta dan orang persendirian yang inginkan perkhidmatan pemuliharaan.

“Malah sambutan yang diberikan amat menggalakkan dan permintaan semakin bertambah sehingga kami terpaksa mengawal permintaan tersebut kerana objektif utama kami adalah untuk menyokong kepada bahan sedia ada,” katanya.

Bahan-bahan yang boleh dipulihara dan dibaik pulih di makmal tersebut ialah bahan daripada medium kertas seperti lukisan, warna air, gambar foto, skrol dan objek-objek arca.

Langkah pemuliharaan perlu dilakukan apabila sesebuah karya hendak dibawa keluar dari BSVN.

Lazimnya ia akan dikuarantin untuk kerja-kerja mencatitkan laporan keadaan karya tersebut.

“Selepas melihat keadaan fizikal karya tersebut kami akan mengenal pasti masalah yang terdapat pada karya itu contohnya karya lukisan.

“Jika ia terkoyak atau catnya tertanggal, kami akan menjalankan proses rawatan dengan beberapa proses pembaik pulih seperti proses cucian kering,” ujar Musrizal.

Kertas tisu L2 (jenis bebas asid) akan ditampalkan di atas karya-karya catatan lapisan demi lapisan bagi menguatkan kembali keadaan kertas tersebut.

Bagi karya lukisan yang menggunakan asas kanvas seperti linen, jut, kain kapas dan belacu, proses patching iaitu menampal benang mengikut jalinan laluan asal kanvas tersebut akan dilakukan untuk mengukuhkan kembali struktur lukisan yang terkoyak.

Jika warna karya tersebut tertanggal, proses hatching pula boleh membaiki semula lapisan cat yang bermasalah.

Walaupun demikian, bagi menghormati karya tersebut, bahagian konservasi biasanya meminta artis asal yang menghasilkan karya tersebut untuk datang sendiri ke BSVN untuk proses bancuhan warna.

“Jika artis itu telah tiada, kami akan menghasilkan warna tersebut dan setiap proses pemuliharaan yang akan dilakukan secara seminimum mungkin pada lapisan pertama yang sering berhadapan dengan masalah kepudaran kerana dimakan usia,” kata Musrizal.

Beliau berkata, faktor cuaca dan suhu sering menjadi penyebab mengapa sesebuah karya itu mudah rosak.

“Bagi saya, bahan lukisan dan medium berasaskan kertas paling mudah bermasalah dan kami kategorikan masalah tersebut sebagai kritikal, separa kritikal dan stabil.

“Oleh itu, saya nasihatkan agar pengumpun-pengumpul yang menyimpan pelbagai karya perlu menjaganya dengan selalu membersihkan permukaan luar karya itu.

“Jika ia dipamerkan di bahagian ruang tamu, karya itu perlu disimpan ditempat gelap kerana jika ia selalu terdedah kepada lampu tiruan warnanya mudah luntur atau pudar,” jelas Musrizal.

Tambahnya, jika bahan seni visual itu dijaga dengan baik maka jangka hayatnya boleh berpanjangan sehingga ratusan tahun.