Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

KUALA TERENGGANU 10 Okt. – Menyusuri jalan-jalan kampung dan batas tali air untuk berdamping dengan masyarakat sudah menjadi rutin hujung minggu bagi Yusof Awang Hitam.

Memikul tanggungjawab sebagai Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, beliau kali ini bersama lebih 60 ahli Kelab Basikal Pemuda UMNO DUN Manir menjelajah 11 buah kampung untuk bertemu rakyat.

Menurut Yusof, kayuhan bersama anak muda itu bermula pukul 7.30 pagi bagi melawat warga emas, orang kelainan upaya (OKU), anak yatim dan penghidap pelbagai penyakit di DUN berkenaan.

Bermula di Kampung Pulau Bahagia, kayuhan diteruskan ke Padang Macang, Beladau Kolam, Teluk Menara, Tualang, Durian Mas, Pujuk, Padang Sapi, Pulau Manis dan berakhir di Batu Hampar.

“Setiap keluarga menerima sumbangan barang keperluan dapur. Sebelum itu, kami singgah di Pasar Manir untuk bersarapan pagi bersama masyarakat peniaga di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di Pasar Manir dekat sini kelmarin.

Tambah Yusof, di samping mahu menyelami kecenderungan orang muda yang semakin meminati budaya berbasikal, tujuan program itu secara tidak langsung mampu menyemai sikap prihatin golongan itu terhadap golongan yang memerlukan perhatian.

Katanya, program bersemuka itu tanpa perbelanjaan yang besar dan cukup berkesan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi, sambil mendengar keluhan golongan itu agar tiada yang rasa terpinggir.

“Secara tidak langsung, kita juga dapat meninjau keadaan kemudahan asas penduduk seperti keadaan rumah, jaringan jalan kampung, bekalan air, tali air serta prasarana sukan untuk golongan muda beriadah,” ujarnya.