Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

RAWANG 10 Okt. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dirayu agar menyelesaikan segera isu terminal bas dan teksi di sini demi keselamatan dan keselesaan pengguna, selain mengelakkan peniaga menanggung rugi.

Orang ramai mendakwa kompaun yang dikeluarkan selama ini kepada pengusaha bas tidak memberi kesan besar kerana pengusaha dilihat masih mengulangi perbuatan sama.

Apa yang diharapkan ialah tindakan lebih tegas terutama menarik balik lesen bagi memastikan pengusaha benar-benar tahu keseriusan kerajaan dalam meningkatkan kualiti pengangkutan awam di negara ini.

Seorang peniaga, R.Subba Rao berkata, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi memastikan terminal itu dapat beroperasi dengan baik dan lancar.

Katanya, terminal yang disediakan itu bukan sahaja demi menjamin keselamatan pengguna tetapi juga keselesaan mereka.

Pengurus terminal bas itu, Ang Lip Kee berkata, situasi yang berlaku kini turut memberi masalah kepada pihaknya yang ditugaskan menjalankan kerja-kerja penyelenggara di situ.

Katanya, pihak pengurusan sudah sedaya-upaya memastikan terminal itu digunakan seperti yang dirancang, namun ternyata ia tidak seperti yang diharapkan.

“Tindakan pengusaha bas kembali beroperasi di luar terminal ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan pada penutup longkang dan saluran utiliti, tetapi juga kon yang diletakkan sebagai penghalang di kawasan yang tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Seorang peniaga, Azizan Buyong berkata, sekiranya arahan dipatuhi, sudah pasti peniaga di sini tidak terus menanggung kerugian seperti yang berlaku lebih dua tahun sebelum ini.

Seorang pelajar, Sarah Idayu Abdullah, 16, berkata, keadaan sekarang menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak kerana ramai yang keliru lokasi sepatutnya untuk menunggu bas.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai pengguna pengangkutan kami mahukan jaminan keselamatan dan keselesaan, apatah lagi bangunan terminal sudah sedia ada,” ujarnya.