Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

RAWANG 10 Okt. – Hasrat orang ramai di sini untuk menikmati kemudahan pengangkutan awam dengan selesa dan selamat terpaksa dilupakan walaupun kerajaan sudah membina terminal bas dan teksi di situ.

Ini berikutan tindakan pemandu bas yang berdegil dan ingkar arahan pihak berkuasa agar semua operasi mengambil dan menurunkan penumpang tidak lagi dilakukan di luar terminal itu bermula 30 September lalu.

Walaupun pada peringkat awal pelaksanaannya, semua pemandu bas mematuhi arahan itu tetapi ia hanya bertahan selama empat hari sahaja.

Kedegilan pemandu dan pengusaha bas mematuhi arahan pihak berkuasa itu menimbulkan persoalan kepada banyak pihak.

Adakah mereka kebal dari segi undang-undang atau pihak yang berkuasa yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tegas dan berkesan.

Tinjauan Utusan Malaysia di terminal itu mendapati, keadaan di luar terminal terus sesak dengan orang ramai menunggu bas untuk pulang ke destinasi masing-masing.

Ada antara mereka dilihat masih keliru dengan perubahan lokasi bas yang kembali semula beroperasi di luar bangunan terminal.

Difahamkan, sebelum ini, pengusaha telah mengemukakan beberapa sebab sebagai alasan tidak memindahkan operasi mereka ke dalam bangunan terminal.

Antaranya ialah meminta laluan di situ dijadikan jalan sehala dan petak bas diubah suai tetapi selepas permintaan itu dipenuhi oleh pihak berkuasa, mereka masih enggan berpindah.

Difahamkan juga, sikap tamak dan berlumba-lumba mendapatkan pelangggan adalah antara punca utama pengusaha bas di situ masih ingkar mematuhi arahan pihak berkuasa.

Hampir setiap hari pergaduhan akibat berebut penumpang dapat disaksikan oleh orang ramai yang berada di sekitar terminal itu.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) memberitahu, pihaknya tidak mempunyai kuasa penuh untuk menyelesaikan masalah itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Aa’la ketika diminta mengulas isu itu berkata, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) lebih bertanggungjawab mencari penyelesaian kepada isu berkenaan.

“Bagi pihak MPS, kami melakukan pemantauan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis dan tindakan yang diambil lebih kepada pemandu yang melakukan kesalahan jalan raya,” ujarnya.