Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

KUCHING 10 Okt. – Kerajaan negeri akan melaksanakan pemutihan dan mengemas kini data sistem maklumat kemiskinan negara (e-Kasih) di semua peringkat di negeri ini tidak lama lagi.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, langkah tersebut dilakukan ekoran aduan dan rungutan daripada orang ramai yang menyatakan sistem e-Kasih itu tidak merangkumi kesemua mereka yang benar-benar layak.

”Senarai yang ada ketika ini perlu diperhalusi dan harus melalui proses pemutihan bagi memastikan niat murni kerajaan untuk membantu rakyat yang susah ini akan dapat dicapai dan tidak berlaku mereka yang layak tercicir.

”Misalnya, masyarakat Penan yang memang diketahui ramai hidup susah, namun hanya dianggarkan 400 daripada 10,000 orang yang berdaftar dalam sistem e-Kasih ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat pengeluar tangki septik terbesar di Malaysia, WEIDA (M) Bhd di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.

Fatimah berkata, beliau secara peribadi turut menerima aduan mengenai kesilapan dalam sistem itu sehingga ada mereka yang tidak sepatutnya telah menerima bantuan.

Sehubungan itu katanya, proses mengemas kini maklumat serta proses pemutihan pada sistem berkenaan boleh mengurangkan risiko berlaku ketidaktelusan atau penyelewengan.

Tambahnya, ia juga bertujuan menyelaraskan maklumat mengenai penerima bantuan yang layak bagi mengelak berlakunya pertindihan.

”Ini adalah untuk memastikan penyampaian bantuan sistem e-Kasih dilaksanakan dengan lebih berkesan memandangkan pelbagai rakan kongsi iaitu kementerian dan agensi terlibat dalam usaha pembasmian kemiskinan ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini terdapat kira-kira 50,000 orang telah melakukan pendaftaran terbuka data keluarga miskin dalam sistem e-Kasih.

Bagaimanapun ia bukan penentu kelayakan untuk mereka menerima bantuan di bawah program pembasmian kemiskinan.