Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

LABIS 10 Okt. – Masalah parit di Perumahan Awam Jalan Muar yang tidak diselenggara sejak sekian lama membimbangkan penduduk di kawasan itu.

Seorang penduduk, Jamaluddin Idrus, 44, berkata, parit tersebut akan bertukar menjadi anak sungai ketika hujan lebat dan boleh mengancam nyawa penduduk yang melalui kawasan berkenaan khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah.

“Pelajar sekolah selalu menggunakan jambatan kayu yang dibuat sendiri oleh penduduk kampung di parit berkenaan untuk ke sekolah agama berhampiran.

“Namun, setiap kali hujan lebat, pasti parit itu dinaiki air dan ia membahayakan nyawa kanak-kanak yang menggunakan jambatan berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurut Jamaluddin, parit berkenaan hanya diselenggara oleh pihak berkuasa beberapa kali sahaja sebelum ini tetapi kerja yang dijalankan ibarat melepas batuk di tangga.

Seorang lagi penduduk, Lim Chong Khui, 61, berkata, ketika musim panas, parit itu menjadi tempat pembiakan nyamuk kerana terdapat air bertakung.

Dia turut mendakwa beberapa rumah jiran termasuk rumahnya yang terletak tidak jauh dari parit berkenaan pernah dimasuki ular.

Bagi Abdul Ghani Abdul Wahab, 55, pihak bertanggungjawab digesa untuk mendalam dan melebarkan parit berkenaan serta membina jambatan yang lebih selamat untuk kegunaan penduduk.

“Kami berharap masalah yang kami hadapi sejak sekian lama ini dapat diselesaikan dengan segera. Kami tidak mahu ada perkara buruk berlaku baru tindakan hendak diambil,” katanya.