Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

SINGAPURA – Jordan menjadi pasukan terbaru yang mengkritik padang tiruan Singapura semalam menjelang Kelayakan Piala Dunia, ketika negara itu berusaha untuk layak buat pertama kali ke pusingan terakhir zon Asia.

Jurulatih Jordan, Adnan Hamad berkata, permukaan padang sintetik di Stadium Jalan Besar, menyukarkan pasukannya, yang mendahului Kumpulan A.

Ulasan Adnan itu adalah yang kedua selepas bos Iraq, Zico menyelar penggunaan padang tersebut yang disifatkannya tidak layak untuk pertandingan bertaraf dunia.

“Saya rasa padang ini akan menyukarkan pemain. Ini merupakan kali pertama kami bermain di atas padang seumpama ini, terutamanya untuk skuad kebangsaan,” kata Adnan.

Jordan mengintai peluang untuk mengekalkan rekod sempurna bagi mencatat kemenangan ketiga.

Singapura pula bergelut untuk mencari mata pertama dalam Kumpulan A di Stadium Jalan Besar yang berkapasiti 6,000 penonton.

Singapura menggunakan stadium kecil itu sebagai gelanggang rasmi sementara menanti Stadium Nasional yang dinaik taraf siap pada 2014.

“Perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan. Kami mahu mencatat kemenangan pada pertemuan ini dan kekal pada tangga teratas kumpulan,” kata Adnan.

Jordan mendahului Kumpulan A dengan enam mata selepas dua perlawanan setelah mengalahkan China dan Iraq, masing-masing pada kedudukan kedua dan ketiga dengan tiga mata.

Adnan berkata, kemenangan bakal meletakkan Jordan semakin menghampiri untuk mencatat sejarah layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia.

Penolong jurulatih Singapura, V. Sundramoorthy berkata, kemenangan pasukannya bakal menjadikan persaingan Kumpulan A kembali terbuka, termasuk China dan Iraq.

“Apa sahaja boleh berlaku esok. Jika kami mengutip tiga mata, ia memberi kami peluang layak ke pusingan seterusnya,” katanya. – AFP