Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

JOHOR BAHRU 10 Okt. – Rakyat negeri ini diminta menolak segala janji dan tidak terpengaruh dengan fitnah pihak pembangkang yang kini mencuba pelbagai cara bagi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, masa depan negeri ini tidak seharusnya digadaikan dan rakyat tidak perlu tertipu dengan taktik serta helah pembangkang yang bersifat mengelirukan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, pembangkang tidak mempunyai visi dan misi jelas jika ditakdirkan memerintah yang semata-mata mahu merampas kuasa tanpa mendahulukan kepentingan rakyat.

“Pakatan rakyat kata yang penting dapat kuasa dulu, nak perintah macam mana itu cerita kemudian. Kita tak tahu, kalau ada kuasa, apa mereka nak buat. Ini berbahaya.

“Pas dengan keutamaannya, DAP pula dengan perjuangannya dan begitu juga dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” katanya pada majlis sambutan Deepavali dan penyampaian sumbangan di Dewan Majlis Perbandaran Johor Bandar Tengah, Taman Damai Jaya, Skudai malam tadi.

Sebanyak RM100,000 diberikan kepada 150 penerima India yang terdiri daripada keluarga miskin sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan peribadi Ahli Parlimen Gelang Patah, Tan Ah Eng.

Abdul Ghani berkata, keadaan itu berbeza dengan BN yang memerintah negara ini lebih 50 tahun dan melayan semua kaum dengan adil.

Beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa masyarakat Cina Johor mula menyokong pakatan rakyat hanya segelintir sahaja yang berbuat demikian kerana terpedaya dengan tohmahan liar mereka.

“Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang baru-baru ini, Pas kata orang Cina di Johor mendapat ‘hidayah’ kerana segelintirnya menyokong mereka, orang India dan Melayu dikatakan masih belum terima hidayah,” katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Ketua Bahagian MIC Gelang Patah, S. Kanan dan 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India di Johor sebelum majlis itu, beliau berkata, pelbagai isu dan perkara dibangkitkan.

Menteri Besar itu berkata, kerajaan negeri akan cuba menyelesaikan semua masalah dan tuntutan mereka antaranya sekolah Tamil dan kuil yang memerlukan kerja penambahbaikan dan sebahagiannya memerlukan bangunan baru.