Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

JERANTUT 10 Okt. – Program Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada 16 September lalu disambut dengan penuh meriah dan penghayatan sejarah oleh pelbagai kaum di negara ini.

Nilai penghayatan terhadap falsafah kemerdekaan terbukti apabila rakyat berazam sekali gus menaikkan semangat patriotisme dan jati diri sebagai tunjang kehidupan.

Semangat patriotisme terserlah ketika Jalur Gemilang dilihat berkibar di semua tempat, manakala nyanyian lagu patriotik berkumandang di media cetak dan elektronik.

Senario sambutan berkenaan yang disemarakkan setiap tahun oleh rakyat Malaysia mempamerkan semangat patriotik dan rasa cinta kepada negara tanpa berbelah bahagi.

Bukan dengan cara paksaan, tetapi secara sukarela rakyat menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

Sekolah sebagai institusi pendidikan yang mewarnai akhlak, menyubur intelek dan menajamkan minda pelajar tidak ketinggalan daripada menganjurkan program berkenaan.

Kemeriahan sambutan menerusi kegiatan kokurikulum misalnya dapat mendidik kanak-kanak dan remaja mengenali perjuangan wira bangsa dan kemerdekaan negara selain dibantu maklumat yang diperoleh menerusi buku sejarah.

Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Hadi Aznan, 35, berkata, penganjuran pelbagai program kemerdekaan mampu menyuburkan semangat jati diri di kalangan murid.

“Sambutan itu yang diterapkan melalui pendidikan kokurikulum amat penting untuk menyuburkan cinta dan minat murid-murid terhadap sejarah pemimpin dan kemerdekaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hadi yang juga Setiausaha Program Semarak Rukun Negara sekolah berkenaan berkata, kegiatan yang dilaksanakan dalam bentuk pertandingan juga dapat menguji pengetahuan, kemahiran dan bakat murid berkenaan.

Guru SK Kampung Pagi Hulu Tembeling, Norazizah Moktar, 27, berkata, pelaksanaan kegiatan luar bilik darjah bertemakan bulan kemerdekaan boleh menyemai minat murid terhadap sejarah.

Tambahnya, mereka dapat diasuh mengenali sejarah negara menerusi kegiatan mengibarkan Jalur Gemilang, bersajak dan nyanyian lagu patriotik sempena bulan kemerdekaan itu.

Katanya, program berkenaan juga dapat mendekatkan pemahaman golongan itu terhadap sesuatu peristiwa mengenai tokoh dan kemerdekaan negara.

Dalam pada itu Pengerusi Belia 4B Lipis, Azhari Rose, 39, berkata, peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga ditagih untuk menyemarakkan sambutan itu setiap tahun.

Jelasnya, pihaknya telah melaksanakan perarakan Jalur Gemilang dan menyampaikan sumbangan untuk penduduk miskin secara kolaborasi dengan pemimpin setempat.

Azhari yang juga seorang guru menambah, program semarak bulan kemerdekaan merupakan serampang dua mata, iaitu mendekatkan belia dengan tokoh sejarah dan pemimpin setempat serta mengembalikan keyakinan mereka dengan kerajaan hari ini.