Latest Post

Upgrade Your Audio Setup: Exploring High-Quality HiFi Racks at Audio Perfectionist in Malaysia Innovations in Construction Chemistry

BENTONG 10 Okt. – Seramai 224 pelajar menyertai Kem 1Murid 1Sukan anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Jerantut di Air Tenang Resort, Janda Baik, dekat sini yang berakhir kelmarin.

Program yang bermula sejak Khamis lalu itu melibatkan 128 pelajar sekolah menengah dan 96 murid sekolah rendah dari seluruh daerah Jerantut.

Penyelia Unit Sukan PPD berkenaan, Mohd. Supian Mohd. Kasim berkata, semua peserta dipilih oleh pihak sekolah masing-masing melibatkan empat murid bagi sekolah rendah manakala lapan pelajar bagi peserta sekolah menengah.

“Program ini diadakan selama tiga hari dan peserta didedahkan dengan pengenalan setiap jenis sukan, organisasi kelab dan pengubahsuaian permainan oleh guru-guru yang bertindak sebagai jurulatih,” katanya kepada Utusan Malaysia pada majlis penutup program tersebut kelmarin.

Mohd. Supian berkata, semua peserta dari sekolah rendah dan menengah digabungkan mengikut kumpulan masing-masing agar mereka dapat berkenalan dan berkomunikasi dengan baik.

Menurutnya, aktiviti pertama yang dijalankan adalah Pengenalan Pengurusan Kelab iaitu pendedahan kepada peserta mengenai organisasi sesebuah kelab sukan serta fungsi setiap pelajar berdasarkan jawatan yang disandang oleh mereka.

“Selepas mendengar ceramah daripada jurulatih, semua peserta kemudiannya membuat latihan dalam kumpulan bagi membentuk satu organisasi yang lengkap berdasarkan kelab sukan yang dipilih dan seterusnya membuat pembentangan kepada ahli kumpulan lain,” ujarnya.

Beliau berkata, peserta kemudiannya diberi penerangan mengenai asas permainan terutama bagi sukan bola sepak, badminton, bola jaring, sepaktakraw dan hoki.

“Selepas itu, peserta diberi peluang untuk bermain semua jenis permainan tersebut secara bergilir-gilir agar mereka mendapat pengetahuan serta kemahiran yang akan digunakan apabila kembali ke sekolah,” jelasnya.

Selain itu, katanya, para peserta turut diajar kaedah mengubah suai permainan menggunakan bola agar mereka dapat mencipta permainan baru sekiranya tidak dapat bermain permainan asas menggunakan bola seperti bola sepak dan bola jaring.

“Pada masa yang sama kita turut memberi penerangan mengenai asas pemakanan dan kecederaan dalam sukan.

‘‘Sebagai hasilnya, kita harap para peserta akan menjadi duta sukan dan mengaplikasikan kemahiran yang mereka perolehi melalui kem ini di sekolah masing-masing,” kata beliau.