Latest Post

What are the Benefits of Breast Milk Storage Bag? What is “microwave safe” means?

KUCHING 10 Okt. – Jalan raya menghubungkan Bintulu dengan Belaga perlu diperbaiki secepat mungkin memandangkan ia kini menjadi laluan utama sejak perkhidmatan feri terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Menteri Kemajuan Tanah negeri, Tan Sri James Jemut Masing berkata, keadaan jalan yang rosak kerana turut menjadi laluan utama kenderaan berat amat berbahaya kepada mereka yang menggunakannya.

“Perkhidmatan feri yang tergendala menyebabkan jalan darat merupakan satu-satu pilihan yang ada bagi membolehkan penduduk Belaga keluar dari kawasan itu.

“Jadi kita sedang berusaha mencari penyelesaian bagaimana laluan ini dapat diperbaiki supaya menjadi lebih selesa dan selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Kejohanan Golf Sarawak Masters Piala YB Tan Sri James Masing 2011 yang turut dihadiri Presiden Persatuan Golf Sarawak, Patrick Chieng di sini, hari ini.

Lebih 30,000 penduduk di sepanjang Sungai Rajang khususnya di sekitar Kapit dengan Belaga terputus hubungan dengan dunia luar apabila perkhidmatan feri sebagai satu-satunya pengangkutan yang ada dihentikan berikutan paras air sungai menjadi terlalu cetek.

Masalah tersebut dipercayai berpunca daripada proses penakungan air di Empangan Bakun yang menyebabkan aliran air sungai dialih ke empangan tersebut di samping keadaan kemarau yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Mengulas lanjut, Masing berkata, selain menyukarkan aktiviti harian penduduk tempatan, masalah tersebut turut memberi kesan kepada industri pelancongan apabila jumlah pelancong ke kawasan Belaga jatuh mendadak.

“Antara langkah penyelesaian yang bakal diambil adalah melakukan aktiviti pengeboman di beberapa kawasan sekitar Jeram Pelagus untuk melancarkan aliran air di sungai berkenaan dalam masa terdekat.

“Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini juga ada mengemukakan cadangan untuk memperkenalkan penggunaan pesawat amfibia di kawasan tersebut, terutama di Empangan Hidroelektrik Bakun,” katanya.